Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tiga Puluh Hari Menuju Ramadhan

Sunday, March 14, 2021

Hari ini merupakan 30 Rejab 1442 dalam Takwim Hijrah mengikut kalendar Islam. InsyaAllah kita akan berganjak pulak ke Bulan Syaaban iaitu bulan ke-lapan. Selepas bulan tersebut, seluruh umat Islam akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. MasyaAllah. 

Tidak sabar rasanya ingin berjumpa bulan Ramadhan yang sentiasa ditunggu-tunggu. Mengerjakan terawih dan tadarus. Menghayati makna Ramadhan sebenar dan menunggu malam Lailatul Qadar. Semoga kita semua direzekikan malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu. InsyaAllah. Allahumma Amiin. 


Bagi kaum Muslimah yang belum habis menggantikan puasa disebabkan keuzuran pada Ramadhan yang lalu, masih ada masa lagi untuk berbuat demikian walaupun kiraan hari semakin dekat. Semoga dipermudahkan segala urusan penggantian (qadha') puasa. 

Sebagai perkongsian bersama, Eza kongsikan hadis sahih melalui pembacaan buku yang Eza baca iaitu: 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW bersabda: "Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: 'Sesungguhnya aku berpuasa'." 
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sememangnya semasa berpuasa tidak kira puasa ganti, puasa sunat mahupun puasa Ramadhan ujian datang menduga kesabaran kita. Namun, ingatlah kita sedang berpuasa. Jadikan amalan itu perisai diri kita dari sebarang perbuatan yang tidak elok dan sia-sia. 

Rindu Ramadhan. 
Semoga dipanjangkan usia untuk merasai Ramadhan pada tahun ini. 
Amiin Amiin Amiin YRA. 

Read More